Sunday, September 11, 2016

tukang jahit peradaban.


Dia di situ sedang menjahit perca-perca hidup yang terkoyak,
agar kelak bisa dipakai cucu-cicit tamadun,
generasi pembuka peradaban.

Entah didengar entah tidak barang usahanya
bahkan tak pernah menjadi suatu soal

Aksi dan riuhnya
gegar berantakannya
Bisa menjalarnya

Bahkan juga tak perlu sampai ke mulut banyak orang
malah siapapun

Karena harga ketulusan itu telah kukuh ia persembahkan
hanya buat Tuhan

Biar nanti; kata dia
hasilnya itulah yang bicara

entahkan seribu tahun lagi lamanya
entahkan jutaan

dia cukup begitulah
tulus dan terus
memegang peran sa-orang tukang jahit
bagi sa-buah peradaban
yang dijerut-diamkan sekian lama


1830 pm
petang tenang Hari Arafah
11 Zulhijjah 1437H

Wednesday, July 20, 2016

Catatan 5 Syawal.


Dengan Nama Tuhanku Yang Menciptakan,


Malang besar yang menimpa generasi kita hari ini adalah apabila tidak mampu mengenali ilmuwan dari tanah tumpah darah kita sendiri. Beberapa hari lalu ramai org kongsikan tentang perpustakaan ISTAC yg sarat khazanah ilmu yang sungguh bernilai sehingga diiktiraf sebagai antara LIMA perpustakaan terbaik di dunia. Tapi bernilainya ia gagal difahami oleh pihak-pihak yang berautoriti dalam politik sehingga akhirnya pusat pemikiran yang diasaskan oleh YM Tan Sri Prof Syed Muhammad Naquib Al Attas ini berkubur lesu. Mengapa ia ditutup saya sendiri masih mencari-cari jawapannya (walaupun kisah konflik dan kontroversi penutupannya banyak berlegar di newsfeed).

Seni binanya yang indah kini hanya dikenali lewat model-model pakaian dan juga drama-drama yang lokasi penggambarannya dilakukan di sini. Walhal, harga ISTAC ini hakikatnya jauh lebih mahal dari itu. Ia pusat pemikiran ummat, juga pusat rujukan bertaraf antarabangsa di Tanah Melayu ini. Setiap ukiran pada tiangnya sendiripun membawa signifikan dan falsafah tersendiri. Apatah lagi misi utama pembinaannya. SMN Al Attas telah meletakkan batu asas yang begitu bernilai dalam mengangkat gelombang intelektual di negara kita.

Malang bagi kita yg entahkan kenal entahkan tidak ISTAC ini. Mungkin nama SMN Al Attas juga tak pernah kita dengari sebelum ini, apatah lagi karya juga buku-bukunya.

Malang sekali jika masih kekal begini, sebuah negara di Nusantara yang tak menghargai ilmu dan ilmuwannya.


Sunday, May 15, 2016

kurniawangunadi (i)



“Seseorang tidak perlu keluar dari jalan hidupnya sendiri untuk mencari “partner” di jalan lain. Justru jalan itulah yang akan mempertemukan mereka.
Maka, tetap genggamlah impianmu, berjalanlah terus ke arahnya.
Bukalah mata hati, kamu akan mendapati orang-orang yang memiliki impian sama denganmu sdang berjalan di jalan yang sama.
Dan kalian akan bertemu pada satu titik, sehingga kalian akan berjalan bersama untuk satu impian yang sama.”
-Kurniawan Gunadi
***
Indah itu ialah apabila kita yakin,
bahawa setiap perkara yang kita gantungkan kepada Allah, maka Allah jualah yang mengetahui semuanya.

Maka apa saja pilihan Allah, maka pilihan itu jualah yang selayaknya terbaik buat kita.

Seharusnya sepenuh fokus dan sedar, bahawa setiap harapan hanya layak digantung penuh pada Allah. Bukan pada yang selainnya. Maka Allahlah yang kan memilihkan, bahkan yang terbaik.

Yakin, syukur dan sabar.

**

Fenomena Bacaan Lambak ?


[Fenomena Bacaan Lambak?]


Pesta agung buku sudah beberapa hari bermula. Berbondong-bondong manusia datang dan meraikan walau mungkin sebahagiannya mengeluh atas faktor pertukaran tempat oleh penganjur. Namun, itu bukan satu isu yang ingin dibahaskan. Jika anda benar mencintai buku dan ilmu, hatta kedai buku itu sempit, kecil dan panas sekalipun anda akan berjuang untuk masuk kedalamnya.
Mari pergi lebih dalam. Pesta kali ini sedikit berbeza. Kita melihat penerbit-penerbit indie begitu ghairah memasarkan produk-produk bacaan indie mereka. ‘Keras dan Melawan’ dan ‘Liar dan Angkuh’ hakikatnya semakin menjadi pilihan. Mereka berjaya mengembangkan ‘circle of readers’ yang selama ini terlalu ‘takut’ untuk membaca dek kerana buku-buku sedia ada terlalu sukar difahami, laras bahasa yang terlalu tinggi sehingga tidak menyuntik inkuiri orang kebanyakan. Penerbitan buku sebegini datang menawarkan alternatif, dengan judul-judul sensasi dan pembawaan pelbagai aliran pemikiran (tanpa tapisan) ke dalam setiap buku-bukunya. Buku-buku indie dengan muka depan yang ‘rare’ dan harga yang dikira tidak terlalu mahal (tiga buku RM 50), diisi pula dengan 'content' yang berat tetapi diterjemah ke dalam bahasa pasar percakapan seharian (tanpa terikat dengan skema DBP) membuat ia semakin mendapat perhatian.
[Islamis-Indie?]
Kemunculan penerbitan Islamis-Indie dari pelbagai gerakan Islam pula mengidentitikan penulisan mereka dengan rentak yang sekata dengan arus (penerbitan buku indie) semasa dan ini dilihat sedikit sebanyak menjadi kayu imbang kepada lambakan karya indie yang sebahagiannya terlalu keras dan melawan. Suatu usaha yang wajar dipuji sementelah ia seperti sebuah tindakbalas harmoni apabila watak antagonis dan protagonisnya teradaptasi dalam bentuk buku.
[Apa sebenarnya yang berlaku dari semua ini?]
Semakin banyak penerbit menghasilkan buku yang mengenai selera, mood dan citarasa pembaca, maka ‘circle of readers’ akan semakin luas. Sedikit demi sedikit, ramai yang semakin berminat untuk membeli buku dan membaca. Hatta jika dia hanya membeli (dan tidak membaca buku itu sekalipun), kita justeru mengetahui bahawa (i) muka depan, (ii) penulis dan (iii) content buku itu telah lebih dulu menyuntik inkuirinya. Perjuangan memasyarakatkan ilmu dan buku dilihat semakin meriah, namun adakah sekadar itu sahaja dan kita menjadi terlalu selesa, sehingga meninggalkan karya-karya agung dan magnum opus?
Fikirkan.
**
HusnaNajihah.
*ditulis pada 4 Mei 2016.

Monday, March 28, 2016

Rambang (iii)


dengan nama Tuhanku Yang Menciptakan,


"Aku rasa macam mana pun, penulis tulis apa yang ada dalam diri. Lebih-lebih puisi. Sebab selalunya ada kesan emosi. Atau lebih dalam dari itu, alir bawah sedar.

Yang pakar tentulah lebih mampu mengada-adakan. Menyelami orang, dan menulis dari situ. Seperti pelakon-pelakon filem yang kita suka, tentu sudah berkali-kali kita ketawa dan menumpahkan air mata kerana mereka, Tapi aku rasa exception proves the rule.

Jadi aku rasa persoalannya bukan verbal atau pemikiran datang dulu, tapi diri yang menulis, bagaimana dia dibina, dalam mana telaga jiwa, luas mana pengalaman hidup, dan apa yang pernah menghancurkannya.

.

Rasanya tiada penulis berazam ingin menulis tanpa etika. Untuk kita, penulis yang baru bermula, aku rasa tidaklah perlu terlalu ditekankan keperluan 'mencari dan menampilkan kebenaran'. Lebih penting rasanya, ditekankan kepentingan membangun peribadi yang baik, sehingga kebenaran tidak perlu disolek dalam tulisan, tapi mengalir, mengairi, dan menyuburkan jiwa khalayak.

Tentulah, sebenarnya tiada pertentangan pun. Masing-masing adalah bahagian dari yang lain. Cuma, kadang-kadang mendengar 'kebenaran' diseru-seru dipaksa-paksa ditekan-tekan agak menjengkelkan.

"Membacalah bila kau berkehendak tahu.
Menulislah bila kau tahu kehendakmu."


- diekstrak dari tulisan pasangan adik beradik al akh Haniff Zikri dan kak Hanis Zikri, senior di sekolah atas bukit dulu.
@blog tepianmuara
---

dan tulisan yang sering gagal buat aku tidak jatuh cinta kepadanya tentulah dari kak Nur Farah Ahmadi. Walaupun aku selalu membaca lewat dari status-status fb nya sahaja. Tetapi sungguh magis, kerana tanpa mengenalinya pun, setiap alir katanya bisa tembus jatuh ke dalam jiwa.

Lantas menghidupkan, membangkitkan semangat yang kelam.

Tiada yang meragukan. Kerana bagiku, ini pasti dari kedekatan hubungannya dengan Allah. Sehingga tanpa perlu melihat si penulis atau bahkan mengenalinya sekalipun, Allah lebih dulu menghantarkan rasa itu pada kita.

Maka begitulah.
Memaknakan seorang penulis adalah apabila  memperelokkan  diri menjadi yang utama, sebelum kata-kata dan tulisannya. Bahkan, iman dan hati yang compang-camping pasti melahirkan tulisan yang compang-camping juga.

Kerana perjuangan menjadi penulis bukan sekadar beraksi dalam pentas kata-kata, terlebih dulu dari itu ia terkait seteguh apa iman, sebersih apa halaman jiwa.




Kalau nak menulis, Pertamanya membaca, Kedua membaca, Ketiga membaca, Keempat membaca, Kelima baru menulis. -A Samad Said.


Allah, bimbingkan kami untuk tumbuh menjadi manusia-manusia yang membaca, dan kemudian mampu menulis pula, untuk Ummah tercinta.

Thursday, February 11, 2016

Rambang (ii)

.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
Andai penat, berehatlah. Tapi, jangan sesekali berhenti.

Sunday, January 31, 2016

Menjadi Engkau di Mata Aku.


dengan nama Tuhanku yang Menciptakan,

--
sederhana berjubah dan bertudung labuh, dengan beg tangan dijinjit di celah bahunya. ya, islamik pada mata saya. namun, bukan! bukan kerana pakaiannya yang berlabel islamik ini atau gerak lembut santun yang membuatkan saya jatuh suka pada dia saat pertama kali memandangnya.
jauh sekali.

satu personaliti yang paling mengkagumkan saya pada seorang perempuan adalah kemampuan dia untuk membuatkan orang tidak terlebih dulu memandang pada apa yang dia ada atau pakai, tapi terlebih pada pesona dirinya. jauh sekali kecantikan fizikal, tapi aura kebaikan. entah, sukar sekali untuk digambarkan tetapi saya suka apabila seseorang mampu menjadi dirinya sendiri, berdepan dengan prinsip dan keyakinan dia yang sebenar-benarnya. tidak kekok, tidak janggal, tidak risau bahkan tidak sesekali merasa kalah.

dia 'tenang' memberi sebolehnya apa yang dia ada, dia 'tenang' mempamer sejuta kelemahan yang dia punya, dia 'tenang' berhadapan dengan orang-orang yang mungkin berbeza dari dirinya. ah, ringkasnya dia hanya 'tenang' menjadi dirinya.

saya selalu percaya, orang yang 'tenang' dengan dirinya adalah orang yang tidak melabel, menilai atau meletakkan dirinya pada apa-apa yang stagnan. misalnya, harta/wang ringgit, set kosmetik dan kecantikan, fesyen/pakaian berjenama, tahap pendidikan atau apa-apa yang ada di sekelilingnya untuk mewujudkan yakin. cukuplah, perawakannya sahaja membuatkan orang sekeliling merasakan dia ada dan punya sesuatu. ya, dia barangkali punya ini atau itu yang bersifat material, namun bukan itu yang menjadi nilai atau ukuran pertama pada dirinya.

dan saya tak ternampak apa-apa melainkan satu; taqwa. taqwa yang membuatkan dia cukup merendah hati, namun masih 'mengangkat' dirinya 'tinggi' atau merasa 'izzah di depan sejuta manusia, kerana Allah yang menciptakannya, Maha Tinggi! dengan Allah cuma, dia 'mencukupkan' dirinya. harga diri yang 'tinggi' ini, tidak tertakluk pada apa-apa yang bersifat duniawi, tetapi akidah, ibadah dan akhlaknya yang rabbani, hingga pancaran taqwalah yang benar-benar menonjolkan pesonanya!
memetik semula kata kak izzah;

"MAKIN MENDEWASA, MEREKA INI CANTIK; CANTIK DENGAN KEMATANGAN, PENGALAMAN, KEBIJAKAN DAN KEYAKINAN PENAMPILAN!"

--

Tersentuh pabila kak Umairah menukilkan ini. Benar-benar suatu catatan muhasabah buat diri, kerana seringkali, inilah yang aku rasakan tiap kali bertemu akhawat yg bersih hatinya.

sebegitulah mungkin selayaknya imam syafie pernah menuturkan, "aku mencintai orang soleh meskipun aku bukan seperti mereka. semoga kelak aku mendapatkan syafaat dari mereka."

oh Allah, benihkanlah taqwa dalam diri aku, dan jadikanlah aku sebahagian daripada mereka!

.
.

Saturday, January 30, 2016

Rambang (i).



aku kira, aku gemar sekali bertemu mereka-mereka ini, yang setiap hari hidup mereka bersama dengan turun naiknya nafas dakwah dan perjuangan.

aku kira, aku gemar sekali bertemu mereka-mereka ini, yang sanggup hujung minggunya dikorbankan semata-mata untuk kepentingan ummah.

aku kira, aku gemar sekali bertemu mereka-mereka ini, yang tulus seluruh hidupnya diinfaqkan untuk agama. 

sehingga aku mengira, kecil sungguh diriku, aib sungguh diriku, tiada nilai kehidupanku, jika mahu dibandingkan dengan nilai pengorbanan yang sudah dilakukan mereka.

pertemuan-pertemuan kecil begini, wahai kalian yg sudah kuanggap seperti ayah bondaku, kakak kakakku--

layaknya adalah pertemuan yang menyedarkan, yang menghidupkan. biarpun hanya sekejap.

paling kurang, buat insan sepertiku.
yang masih sangat mentah mengenal dunia ini.

dan aku hanya berharap, allah nanti mengambilku kembali di saat yg Dia paling redha.
di saat aku sedang melakukan kerja-kerja untuk Islam.

---

Buat Pemuda-Pemuda (yang jujur ketiduran).

Buat Pemuda-Pemuda (yang jujur ketiduran).
*inspirasi dari Puisi nukilan Mardhiyyah Abadan.




Berpartisipasilah dalam apa jua lapangan masyarakat. Jika mampu turun menyantuni gelandangan, maka turunlah. Jika mampu ke pelusuk pedalaman kampung membina perpustakaan, maka pergilah. Jika mampu menulis, maka menulislah. Jika mampu berwacana membincangkan idea-idea, maka lakukanlah. Jika mampu meluangkan masa berziarah ke rumah-rumah warga tua dan anak-anak yatim, maka luangkanlah. Jika mampu menyumbang upaya mengajarkan Iqra' di surau-surau kampung, maka sumbangkanlah. Jika mampu menginfaqkan tenaga dalam program-program pembinaan generasi pelapis dakwah, maka infaqkanlah. Jika mampu mengeluarkan wang ringgit biarpun nilainya kecil, untuk digunakan untuk kepentingan Ummah, maka keluarkanlah.

Lakukan apa saja yang kalian mampu, demi Ummah ini.

Kelak tidak akan ditanya, sama ada benar-benarkah kita berjaya dalam usaha-usaha tersebut. Tetapi yang akan ditanya adalah sejauh mana usaha yang dilakukan. Sedangkan disebut dalam kisah-kisah orang dahulu, apabila seekor burung yang menggunakan hanya paruhnya sahaja utk menakung air, dan kemudian terbang bergegas untuk memadamkan kebakaran pun sudah dikira sebagai satu usaha. Inikan pula jika manusia. Kan?

Dan seandainya saja kita tahu, bagaimana masa depan dan nasib ummah ini mampu diubah dengan tangan-tangan kita, maka pasti tidak sempat pun untuk kita berperasaan-perasaan semata-mata.
Anak muda terlalu berharga untuk diabaikan saja kekuatannya.

"Sama ada kita sempat melihat kemenangan itu, atau kita syahid dalam perjuangan menuju kemenangan itu." - TGHH

Biarlah nanti, sekurang-kurangnya kita ini menjadi helaian-helaian benang dalam bendera kemenangan Islam kelak.



#mempersiapgenerasikemenangan

Sunday, October 25, 2015

Monolouque #1


dengan nama Tuhanku yang menciptakan,

(monolog yang ditulis khusus untuk hati sendiri)


Jangan pernah menyangka, segala pengorbanan yang kita lakukan di jalan juang ini,
Kan Allah sia-siakan untuk kita.

Allah menghitung. Hatta itu hanya pengorbanan perasaan dan jiwa.
Namun selagi itu kaulakukan untuk kepentingan agama yang dicinta, untuk menegakkan dan membangunkan kembali ummah yang alpa.
Maka berbahagialah wahai hati yang merindukan Tuhannya.

Allah tahu setiap apa yang kita lakukan, setiap titis air mata yang tumpah kerana beratnya ujian, setiap impian duniawi yang kita hancurkan satu persatu demi agama.

Allah tahu, dan Allah menilai.
Dan Allah jualah hakikatnya sebaik-baik pemberi balasan.

Di saat pertama kali hatimu teguh memilih untuk berada di jalan juang ini, maka percayalah, setiap kekecewaanmu untuk harapan kepada dunia,

Kan allah gantikan dengan yang jauh lebih baik dari segalanya.
Dan mungkin yang tak pernah pun engkau jangkakan sebelumnya.

Allah tahu bila masanya yang paling tepat, segalanya kan terbalas dengan hadiah terindah atas segala kesabaran di jalan juang.

Bersabarlah sayang, tiada kekecewaan atau penyesalan di dalam meletakkan harapan dan pergantungan kepada Tuhan.
Biar bertatih kita menapak. Biar sesak dada menghela nafas. Biar payah kita rasakan segalanya.
Kita perlu tetap bergerak, ummah sedang tenat tercungap nafas kelelahan.

Pada Allah jua kita rintihkan segenap kekuatan. 
T.T






Wednesday, October 21, 2015

Fastaqim.


dengan nama tuhanku yang menciptakan,


Sudah lama tidak menulis di mana-mana, hatta di facebook atau blog atau dalam buku catatan peribadiku sendiri bukanlah bermakna aku sudah jauh hati dari cinta kepada kata-kata.

Tetapi kerana kurangnya masa untuk aku duduk, mencari-cari ilham, menyusun atur aksara dan menaip bait-bait kata maka terjadilah semua idea dan buah fikiran tertahan di dalam kepala sahaja.
Pendek kata, bukan sudah tidak cinta, tetapi hanya kerana kekangan masa.

Dan kehidupan yang baru ini memaksa aku untuk memberikan sepenuh komitmen atas setiap tanggungjawab yg wujud. Oh ya, bukan secara terpaksa tetapi aku sendiri rela diriku ini disibukkan sebegini.

Bila dihitung-hitung sejak lahir, terlalu banyak komitmen yang mesti kita penuhi. Komitmen sebagai seorang Hamba Allah, umat Rasulullah, seorang anak kepada kedua ibu bapa, seorang pelajar, seorang kakak kepada adik, seorang cucu kepada nenek, seorang jiran kepada jirannya, seorang sahabat kepada sahabatnya. Dan sekarang ia malahan bertambah-tambah menjadi komitmen sebagai seorang roommate, sebagai seorang ahli kolej, ahli fakulti, ahli persatuan, ahli sekreteriat, ahli kumpulan perbincangan subjek dan senarai itu berterusan lagi tiada habisnya.

Dan aku malahan mencintai kesibukan dan hidupku yang sibuk. Ia terasa menghidupkan.
Kerana diam tidak bergerak itu pasti akan mudah mendekatkanku kepada perkara sia-sia. Perkara duniawi yang tiada ertinya. Dan yang lebih aku takuti dengan banyaknya masa lapang adalah, pabila aku begitu mudah mendekati kemaksiatan.

Maka syukur Ya Allah atas nikmat kesibukan ini. Darinya, aku perlu memaksa diriku menyusun atur jadual harianku dengan sebegitu teliti, belajar untuk bertenang atas semua masalah, memastikan semua temujanji ku dengan mana-mana individu dipenuhi dan perlu benar-benar memastikan aku memenuhi setiap komitmen yang bersusun di pundak ini.

Walau hakikatnya, ia mencambahkan tekanan, dan tak mampu untuk aku bohongi sedikit sebanyak ia disulami kekusutan. Namun dari segala tekanan ini menjadikan aku lebih mudah mengingat Tuhan.
Selalu merasa sangat lemah, rasa tak mampu atas semua tangungjawab dan kerja. Tetapi di titik itulah, aku mula bertatih kembali mengemis-ngemis kekuatan dari Sang Pemilik Kekuatan.

Tuhan, jadikanlah sibuk ini sibuk yang benar-benar bermanfaat buat dunia dan akhiratku, juga sibuk yang buah manfaatnya kan sampai kepada ummah.

Dan atas setiap rasa berat, rasa gelisah, rasa tak larat ini, ampunkanlah Ya Allah. Alangkah kecilnya perjuanganku ini jika hendak dibandingkan dengan perjuangan Nabi dan para sahabat tika dulu.


Thabbit quluubana, ya rabb. T.T


Wednesday, September 30, 2015

Untuk Para Perempuan Yang Dicinta

dengan nama Tuhanku yang Menciptakan,

Tidak pernah aku teringin untuk menulis tentangnya kerana aku asyik terfikir masih banyak isu dan hal lebih berat yang sepatutnya aku ulas. Namun, atas sebab menjawab soalan adik-adik dan sahabat-sahabat muslimat yang bertanyakan buah fikirku maka aku gagahkan jua menulis.

Pertama; kondisi kita adalah dalam lingkungan umur yang baru mula ranum. Baru selangkah kita keluar kealam sebenar, maka terlihatlah oleh kita ragam dan rencah dunia yang pelbagai warna.
Dan kita mula menyedari hakikatnya tak mudah untuk menjaga dan memelihara jiwa dan istiqamah. Ia manifestasi iman dan amal. Siapa yang kuat, maka berupayalah dia terus melangkah. Allahu.

Satu perkara mudah yang aku mahu simpulkan adalah, apa yang kita cari, maka itulah yang akan kita ketemukan. Situasi mudah. Individu A  buka fb, dan dia buka serta teliti satu persatu post-post tentang sahabat-sahabatnya yang baru sahaja berwalimah, dia lihat gambar-gambarnya, diperhati ucapan-ucapan orang untuknya, maka apa yang dia rasa sebenarnya. Jujurkan sajalah, tidak dapat tidak pasti terdetik di hatinya untuk merasai semua pengalaman seperti sahabatnya. Rasa keterujaan hadir melihatkan situasi sahabat yang berjaya menemukan jodohnya seawal usia.

Namun dari sudut yang lain, individu B pula buka fb, dan perhati status-status serta gambar-gambar sahabat-sahabat seusianya yang sibuk memperjuangkan isu ummah. Usia muda mereka penuhkan dengan berfikir, mencari ilmu dan turun ke masyarakat. Status-status tentang kahwin muda dan perkara-perkara cinta sangat susah untuk dijumpai di wall mereka. Walaupun, dia tahu usia mereka sebaya dan di tahap menuju dewasa.

Sangat ramai contoh ikon anak muda sebenarnya antaranya, ukht Farihah Zulkifli yang menjuarai hafazan peringkat antarabangsa. Ada juga akh Muhammad bin Zahid yang jika dulu kita sering mendengarkan laungan azannya di TV9. Dan ya, sekarang aktif bersama gerakan mahasiswa di Turki. Mereka ini wujud di FB. Dan rasa keterujaan individu B membara melihatkan ada sahabat seusianya yang sudah maju melangkah dalam menyumbang sesuatu kepada ummah.

Persoalannya mudah, keterujaan mana satukah yang kita pilih?

---


Ada yang bertanyakan pendapatku. Maka aku kira ia sebenarnya begini, perkahwinan dan baitul muslim bukanlah tentang siapa yang paling cepat. Tetapi ia adalah tentang orang yang tepat, pada waktu yang tepat dengan cara yang tepat.

Waktu yang tepat itu pastinya berbeza bagi setiap orang. Dan pastinya hanya Dia sahaja yang mengetahui untuk setiap insan itu, bilakah masanya yang paling tepat. Sesetengah orang menganggap selagi belum habis pengajian, maka belum cukup matang. Namun hakikatnya, ramai juga yang melewati usia pasca pengajian tetapi masih belum mencapai tahap kematangan.
Maka ianya mungkin berbeza mengikut individu.  

Teringat pesanan murabbiah satu masa dahulu tentang perkara ini:
“Tidak perlu berasa takut jika Allah adalah matlamat dan tujuan, tempat sandaran sepenuh pengharapan. Jaga penjuru dalam capaian kita, dan selebihnya serahkan pada Tuhan.”

Dan dalam sesi itu ada juga yang sempat bertanyakan, salahkah jika meletakkan sedikit pengharapan kepada manusia? Pantas murabbiah menjawab, “ kerana manusia ini sifatnya lemah, maka harapan-harapan kepada manusia juga lemah sifatnya. Maka tanpa ragu, gantungkan sepenuhnya pada Allah. Sepenuhnya di sini bermaksud total. Yakni, sepenuh yakin dengan Allah. Maka, kamu akan temukan tiada kekecewaan dan sebarang penyesalan di dalamnya. “

Ahh, terlalu manis dan indah rasanya saat murabbiah mengungkapkan.

--

Ketahuilah, post ini lebih terkhusus untuk sahabat-sahabat dan adik-adik muslimat yang sangat disayangi. Kerana kalianlah yang bakal menjadi ‘madrasatul uula’ dalam sebuah baitulmuslim, maka amat besarlah peranan kalian untuk memenuhi usia muda dengan memperdalam ilmu, bergaul dengan masyarakat dari pelbagai peringkat, dan mencari pengalaman. Seandainya saja kita tahu, bagaimana masa depan ummah ini mampu diubah dengan tangan-tangan kita, maka pasti tak sempat untuk kita berperasaan-perasaan semata-mata.

Maka, teruskan bersabar dengan sabar, usaha mujahadah *walaupun hakikatnya tersangat berat T.T dan terus memperbaiki diri dan jiwa.
Biar nanti anugerah itu menjadi terlalu indah kala kesabaran berbuah. :')


Akhirnya,
“Marriage is not about you and me. But it is about making ummah.”

Dan pastinya,
“A man with big dream needs a woman with vision.”

"Hakikat hamba sungguh lemah. Tiada waimma sehela nafas, bahkan daya dan upaya, melainkan dengan kekuatan dari Allah. 

Sedang nafas saja pun perlu bergantung pada Nya, inikan pula soal sesuatu yang bakal kita pilih, untuk kebaikan dunia dan agama.

kan?"


Senyum redup.
Khalas.

--

Sunday, August 16, 2015

tanpa tajuk.

dengan nama Tuhanku yang menciptakan,




Kerana kini, bukan lagi saatnya--
ketenangan hati dan kemanisannya memeluk iman itu sesuatu yang subur tertanam.

Dulu dengan mudah aku bisa meneguk nikmatnya--
kerana acuan biah yang mensyurgakan jiwa.

Tetapi ia,
mulai saat ini--
adalah sesuatu yang harus aku perjuangkan.
Perjuangkan dalam dalam.

.
.
.

Setiap hari.

--

Dulu di bumi waqafan, pernah ada orang bertanyakan. Apa yang ingin sekali aku mahukan, sebelum keluar dari sini?

Aku beritahu, ada tiga perkara.

1. Murabbi.
2. Murabbi.
3. Lihat no. 1 dan 2.



Maaf sahabat, aku memang tiada jawapan lain untuk soalan itu.

Sedang tegaknya batang pokok, pasti kerana kukuh akarnya.
inikan lagi manusia. kan?

Masa mengubah nilai tarbiyah. Makin jauh, semoga semakin berharga.
Istiqamahkan kami, ya Rabb. T.T

--

"Ramai sangkakan berani itu bererti tiada ketakutan. Tetapi berani itu ialah kemampuan bergerak dengan keyakinan kepada Nya walaupun perlu berdepan ketakutan."

Infiru khifaafan wa thiqaalan.

Sunday, November 3, 2013

Mungkin dengan tak memakbulkan doamu sebelum ini,


dengan nama tuhanku yang menciptakan,





Kadang-kadang dalam setiap perkara yang Allah takdirkan untuk kita, susah benar untuk rasakan kasih sayangNya .
ehem, pastinya sebab gelapnya hati, sampai tak terlihat kasih sayang Allah yang begitu indah .

Tapi, untuk yang ini .
Terasa seluruh kasih sayang Allah .
Terasa .

Bila Allah tetapkan untuk saya mengenali 319 orang sahabat-sahabat Batch Al Banna sejak tingkatan 4,
kemudian hinga ke tingkatan 5 .
Dan bila Allah masih meletakkan saya di bumi sama,
belajar mengenali-memahami-mendekati sahabat-sahabat Al Banna yang baru,
saya makin memahami bahasa kasih sayang Allah .

Dan untuk merasakan seperti ini, saya mengambil masa yang agak lama .
Ya, memang lama .

Selalu dalam otak; ada sesi banding-beza, kawan-kawan dulu dengan kawan-kawan sekarang .
Kawan dulu, macam ni .
Kawan sekarang, macam ni .

Lama-lama, saya jadi penat sendiri .
Ini realiti,
kawan-kawan dulu tak sama dengan kawan-kawan sekarang .
Dan kawan-kawan sekarang tak sama dengan kawan-kawan dulu .

Rupanya untuk memahami semua ini;  yang pertama,
saya harus cuba menerima dengan lapang dada setiap yang datang dari Allah .

Bila Allah meletakan saya dalam macam-macam situasi,
sehingga terkadang saya sendiri rasa 'lost'   .
Dan dari situ, saya belajar .

Bila Allah mentakdirkan saya jumpa ramai sahabat,
dengan macam-macam latar belakang .
Dan dari situ, saya belajar .

Bila Allah mentakdirkan saya bertemu dengan mereka-mereka ini,
duduk mengenali dan cuba memahami .
Dan dari situ, saya belajar.

Suriyus!
Terlalu banyak dari kalian, yang Allah mahu saya belajar .

Namun setelah setiap yang Allah aturkan, saya jadi faham .
Dan saya semakin memahami bahasa kasih sayang Allah .
Allah memberikan kasih sayangnya untuk setiap hamba--
dengan seni yang berbeza .

Mungkin dengan tak memakbulkan doaku sebelum ini, untuk menyambung pengajian ke bumi anbiya';
tanda kasihnya Allah padaku .
tanda cintanya Allah padaku .



Aku masih disini, kerana masih banyak yang Allah mahu aku pelajari dari mereka;
sahabat-sahabat .

untuk semuanya,
maka bersangka baiklah .

Dengan Allah .
ya ?


syukur dan terus syukur !
:)


***
+dah lama tak post entri, otak berkarat nak post pepanjang . 

Thursday, May 30, 2013

Soalan-soalan panas .



Dengan Nama Tuhanku Yang Menciptakan .



                            Muzicons.com





2 jam 30 minit dalam penerbangan KL-Jogja minggu lepas , cuba saya tenangkan dengan mendengar mp3 . 
Sebenarnya agak tidak me'ready'kan hati untuk berjaulah jauh .
Banyak perkara yang masih belum settle, dengan persiapan sambung pengajian, dengan persiapan mental dan hati .

Semuanya masih separuh-separuh .
T.T

"Cuba la dengar yang ni . "
 Adik suruh dengar lagu favouritenya  . Alhamdulillah seat kami bersebelahan .
" Ok, ok . Tekanlah  play . 

**

Mereka kata kau akan sayu di daerah itu
Jawab aku selalu bersama Tuhanku
Kupasrah padaNya sehening tiupan salju
KernaNya aku rasa jitu dan mampu melebihi manusia beribu

Daerah ini daerah tenang sekalipun ada yang kata usang
Daerah ini daerah damai sekalipun sukar untuk sampai
Daerah ini daerah merdeka sekalipun ada yang memeranginya
Biarkan saja aku di daerah ini..

Kata mereka daerah mu itu jauh
Jawab ku pada Tuhan aku bersauh kukuh
Yang jauh itu jiwa yang mungkir
Padaku daerah ini amat hampir

Kata mereka daerah kau itu sepi
Jawabku aku tak pernah sunyi dengan alunan murni
Yang sepi itu jiwa yang inginkan pujian
Padaku cukuplah dengan irama keredhaan Tuhan

Daerahku ini daerah berpendirian
Berpaksikan firman Tuhan
Bukan hukum insan bukan gema sorakan bukan riuh tepukan

Daerah ini tak pernah peduli
Apa kata abdi atau pembesar negeri
Daerah ini berpasakkan Nabi
Bagindalah mimpi Bagindalah realiti

Biarkan saja aku di daerah ini
Sekalipun ada yang tak gemari
Biarkan saja aku di daerah ini
Sendiri membawa diri & sanubari

Biarkan saja aku di daerah ini
Sekalipun ada yang tak gemari
Biarkan saja aku di daerah ini
Kerna aku mengerti ia amat suci & abadi

Di daerah ini, biarlah aku . 

-Daerah Ini, Algebra .


**

Sekarang musim-musim sambung pengajian .


Jordan-Jepun-Mesir-German-Beijing-United Kingdom-Australia-Dublin-Morocco-Korea-Perancis-New Zealand .


Impian menuntut ilmu di bumi asing, *ehemm oversea*, siapa tak nak, kan .

Dan dalam situasi ini saya mula belajar, untuk setiap sesuatu yang dikira istimewa dan besar, atau dalam hal-hal terkecil sekalipun , selalu Allah aturkan orang-orang yang paling tepat untuk menerimanya .

Mereka diizin terbang, tujunya ke daerah-daerah dan negara-negara hebat .

Bertebaran ke seluruh pelusuk muka bumi  .

Dan saya,

kekal di daerah ini .

Yang jelas, sekarang bukan masanya untuk menimbang-tara lagi, sekadar mana persediaan ?



Medan ini menuntut untuk ilmu segera diterjemah menjadi amal .

Bukan sekadar kematangan fikrah atau kelajuan bicara .

Medan ini memerlukan lebih dari sekadar sebuah 'persediaan' .

Sangat-sangat berat untuk difikirkan . 

Awalnya, memang sangat tak mudah untuk memutuskan keputusan .

Istikharah dan istisyarah, akhirnya masih daerah yang ini Allah susunkan .

Daerahku ini daerah berpendirian
Berpaksikan firman Tuhan
Bukan hukum insan bukan gema sorakan bukan riuh tepukan
-Daerah Ini, Algebra


Berkali-kali mendengarkan lagu ni, dan liriknya sangat tajam tepat mengenai sasaran .

Allahu .
T.T

Berkali-kali juga saya bertanya diri, kuatkah engkau untuk semua ini ?

Mampukah engkau untuk menghadapi ini ?


Dan saya masih tetap terkaku daripada menjawab soalan-soalan 'panas' begitu .

Panjangkanlah kekuatan ini, Ya Allah .
Teguhkan pendirian ini, Ya Allah .

**




Jogja dan survival hidup .
Lahar  Merapi menyuburkan tanah Jogja .


Lorong .
Bakal pewaris ulama'.


"Orang berilmu dan beradab tidak akan diam di kampung halaman 
Tinggalkan negerimu dan merantaulah ke negeri orang 
Merantaulah, kau akan dapatkan pengganti dari kerabat dan kawan 
Berlelah-lelahlah, manisnya hidup terasa setelah lelah berjuang. 
Aku melihat air menjadi rusak karena diam tertahan 
Jika mengalir menjadi jernih, jika tidak, kan keruh menggenang. 
Singa jika tak tinggalkan sarang tak akan dapat mangsa 
Anak panah jika tidak tinggalkan busur tak akan kena sasaran. 
Jika matahari di orbitnya tidak bergerak dan terus diam 
Tentu manusia bosan padanya dan enggan memandang. 
Bijih emas bagaikan tanah biasa sebelum digali dari tambang 
Kayu gaharu tak ubahnya seperti kayu biasa jika di dalam hutan. 
"Imam Syafi’i "
 -Negeri 5 Menara - A. Fuadi

Allahu, sangat seni tarbiah yang Allah aturkan, rupanya jaulah yang diawali dengan hati yang separuh, dapat dihabiskan dengan bawa pulang hati yang penuh .


Allah mengatur, agar saya dapat melihat dari dekat hidup manusia-manusia yang bertarung dengan kesusahan dan berdepan dengan bencana alam hanya untuk survival hidup .


Dan setelah melihat tu semua, saya harus berhenti mengukur ketidakmampuan diri, berhenti untuk selalu memandang sisi lemah diri, juga berhenti untuk terus bersedih atas setiap yang tak dapat dipenuhi .


Sekarang, harus mula belajar untuk terfokus penuh untuk memanfaat setiap peluang yang Allah masih beri .

Jogjakarta sungguh, sarat tarbiah . :')

Sahabat,

setiap kita ada jalan yang berbeza .

Allah mengajarkan kita hikmah yang terlalu seni untuk kita sendiri meneliti .

Mungkin sekarang, mungkin nanti . Tapi tetaplah percaya, yang terbaik telah Allah aturkan untuk setiap hamba .

Tinggal lagi, kita .

Sama ada bersedia menerima atau mentah-mentah menolak takdir yang telah Allah aturkan cantik .

Landasan perjuangan kita kan masih sama ?

Teruslah bergerak, berhentilah mengeluh atas setiap perancangan kita yang Allah tangguhkan .



 Jika kau mengerti untuk apa dan kemana kau hidup. Kau hanya perlu untuk tersenyum, lalu kembali menengadahkan kepalamu ke depan. Tekan kedua tanganmu diatas bumi, lalu bertolaklah untuk berdiri.


Untuk setiap soalan-soalan panas yang kita tanyakan pada diri kita, cubakanlah untuk jawab,
"Ya, aku mesti usaha untuk bersedia . "  :")

Sungguh Allah tahu,

kita memerlukan yang mana, dan kita diperlukan di mana .




.

Allahumma Ameen .

Dan semuanya, moga allah redha .

Friday, May 3, 2013

Legoland atau Disneyland .


Dengan Nama Tuhanku Yang Menciptakan









***
" Ketika lepas bebas di alam remaja,
Impianku tidak mengenal batasan-aku ingin mengubah DUNIA.

Apabila usia meningkat dewasa dan aku semakin matang
Kusedari… rupanya dunia tidak akan berubah.
Lalu aku bataskan jangkauan,
Memadailah jika aku dapat mengubah NEGARA,

Namun ini juga tidak kesampaian.
Di usia senja, pilihan terakhirku ialah untuk mengubah KELUARGA,
Dan mereka yang terdekat,
Malangnya…mereka juga tidak mampu kuubah.

Kini, di perbaringan menanti maut,
Baru ku sedari.
Andainya dahulu yang pertama kuubah adalah DIRI SENDIRI,

Dengan menunjukkan teladan yang baik,
Pasti aku dapat mengubah KELUARGA.

Lantas…dengan sokongan dan dorongan semangat mereka,
Aku pasti mampu mengubah NEGARA.
Dan siapa tahu…mungkin juga aku mampu mengubah DUNIA "


Petikan halaman 313 & 314 - Mukmin Profesional, 
Ust Pahrol Md Juoi .

**


Kat atas tu gambar-gambar Istana Al Hambra . Kat bawahnya, antara petikan buku Mukmin Profesional yang sangat meresap dan menyentap . 

Sengaja disatukan keduanya, muhasabah bersama .

Andai ditanya tempat mana kat dunia ni yang sangat sangat ingin dijelajahi .
Saya jawab, Sepanyol .

Keterujaan bertambah-tambah lepas tengok video Shift Your Paradigm kat bawah tu dua tahun lepas .

Ohh, terjatuh cinta mungkin, 
pada kisah-kisahnya
ilmu-ilmunya
seni-binanya
pahlawan-pahlawannya
gemilang-gemilangnya .

Dan semua yg wujud pada zaman itu, di tempat itu .

**
Dulu kat Sambest, rumah sukan kami ada empat . 

A-Andalus
B-Basrah
C-Cordova
D-Dimasyq

Dari situ mula kenal kota-kota tamadun Islam .
Dulu semangat sorak masa sukan, tapi tak berjiwa langsung nak sorak atas-nama-rumah-ku-kota-orang-islam .
Sorak-sorak, menang sukan, menang amal islami, lepastu habis . =.=
(Oh saya rumah Dimasyq dan selalu juara . :p ) 


Sekarang, baru nak ada semangat, nak tahu apa kisah-kisah disebaliknya .
Siapa the unsung heroes  yang terlibat, bagaimana cerita betapa cintanya umat Islam dahulu pada tanah ini . 

Sekarang, baru nak belajar belajar mencintai kota dan ketamadunan Islam .
Moga masih tak terlambat untuk tahu
apa yang ada pada mereka
tapi tiada pada kita .

Kekuatan intelek dan iman mereka boleh gerenti luar biasa .
Dari pemimpinnya,
sampailah ke rakyat jelata .

Terlalu banyak ibrah dan sirah yang perlu dipelajari dari kota ini . 

Bani Umayyah yang mengasaskan .
Cordova sebagai pusat para ilmuwan .
Universiti dan perpustakaan tumpuan .
Thariq bin Ziyad sebagai pahlawan .

Sangatlah sedih bila tempat-tempat sebegini, kita lebih nampak 'cantik'nya berbanding 'sirah'nya .

Dan lebih sedih, apabila generasi X,Y dan Z  lebih mengenali Legoland atau Disneyland dan pelbagai 'land' yang lain berbanding 'land' yang ini .

Inilah 'land' kita, orang Islam .
Al Hambra, atau dijuluki "Istana Yang Hilang "  ini perlu dimaknakan kewujudannya .



Moga Allah memudahkan .


--

p/s- kredit kpd tepianmuara untuk gambar no 4 , yang selebihnya rembatihsan google . ahha .



Salam Jumuah . :)

Wednesday, April 10, 2013

Agar dia menjadi imammu .



Seorang sahabat berkata padaku
"aku ingin menikah
dengannya...hanya dengannya..."
aku bertanya mengapa
"agar ia menjadi imamku...
agar ia membimbingku...
agar ia mengajariku arti ikhlas dan cinta
agar ia membangunkanku solat malam
agar ia membersamaiku
dalam santap buka yang sederhana"

"ahh...itulah masalahnya,"kataku
dan dia kini tahu
bahwa khawatirku benar
bahwa sosok lelaki penyabar yang dia kenal
juga bisa marah, bahkan sering
bahwa sosok lelaki soleh yang dia damba
kadang sulit dibangunkan untuk
solat subuh berjamaah
bahwa lelaki yang menghafal juz-juz al Quran itu
tak pernah menyempatkan diri
mengajarinya a-ba-ta-tsa

"ahh...itulah masalahnya"

semakin mengenali manusia
yang makin akrab bagi kita
pastilah aib-aibnya,
sedang mengenali Allah
pasti membuat kita
mengakrabi kesempurnaanNya

maka gantungkanlah harapan
dan segala niat untuk menjadi baik
hanya padaNya
hanya padaNya...

jadilah ia tali kokoh yang mengantar pada bahagia
dan surga .

-Salim A.Fillah,
  Dalam Dekapan Ukhuwah .
--




Cuma satu sahabatku,

Agar dia mampu menjadi imammu--

kamu lebih dulu harus menjadi hambaNya . 

Cintailah kebaikan,

atas nama Tuhanmu --
bukan kerana manusia .

Tuhanmu, Allah--

kekal .

Manusia, makhluk--

akan binasa .

biar  dalam hati kita melimpah,

rasa hamba-sehambanya!

-najihahusna
***




Mulai sekarang kena belajar cakap kat diri sendiri,

"Semoga ini yang saya tulis,
mampu terpakai juga ketika saya menasihati dirinya ."

Hakikat menasihati diri kan semestinya,
hari-hari .


:)

" Seseorang itu bukan diketahui HEBAT apabila orang lain bertanya;

SIAPA BAPAMU?? , tetapi apabila orang lain bertanya SIAPAKAH DIRIMU?? "

~Sultan Muhammad Al Fateh~