Wednesday, October 21, 2015

Fastaqim.


dengan nama tuhanku yang menciptakan,


Sudah lama tidak menulis di mana-mana, hatta di facebook atau blog atau dalam buku catatan peribadiku sendiri bukanlah bermakna aku sudah jauh hati dari cinta kepada kata-kata.

Tetapi kerana kurangnya masa untuk aku duduk, mencari-cari ilham, menyusun atur aksara dan menaip bait-bait kata maka terjadilah semua idea dan buah fikiran tertahan di dalam kepala sahaja.
Pendek kata, bukan sudah tidak cinta, tetapi hanya kerana kekangan masa.

Dan kehidupan yang baru ini memaksa aku untuk memberikan sepenuh komitmen atas setiap tanggungjawab yg wujud. Oh ya, bukan secara terpaksa tetapi aku sendiri rela diriku ini disibukkan sebegini.

Bila dihitung-hitung sejak lahir, terlalu banyak komitmen yang mesti kita penuhi. Komitmen sebagai seorang Hamba Allah, umat Rasulullah, seorang anak kepada kedua ibu bapa, seorang pelajar, seorang kakak kepada adik, seorang cucu kepada nenek, seorang jiran kepada jirannya, seorang sahabat kepada sahabatnya. Dan sekarang ia malahan bertambah-tambah menjadi komitmen sebagai seorang roommate, sebagai seorang ahli kolej, ahli fakulti, ahli persatuan, ahli sekreteriat, ahli kumpulan perbincangan subjek dan senarai itu berterusan lagi tiada habisnya.

Dan aku malahan mencintai kesibukan dan hidupku yang sibuk. Ia terasa menghidupkan.
Kerana diam tidak bergerak itu pasti akan mudah mendekatkanku kepada perkara sia-sia. Perkara duniawi yang tiada ertinya. Dan yang lebih aku takuti dengan banyaknya masa lapang adalah, pabila aku begitu mudah mendekati kemaksiatan.

Maka syukur Ya Allah atas nikmat kesibukan ini. Darinya, aku perlu memaksa diriku menyusun atur jadual harianku dengan sebegitu teliti, belajar untuk bertenang atas semua masalah, memastikan semua temujanji ku dengan mana-mana individu dipenuhi dan perlu benar-benar memastikan aku memenuhi setiap komitmen yang bersusun di pundak ini.

Walau hakikatnya, ia mencambahkan tekanan, dan tak mampu untuk aku bohongi sedikit sebanyak ia disulami kekusutan. Namun dari segala tekanan ini menjadikan aku lebih mudah mengingat Tuhan.
Selalu merasa sangat lemah, rasa tak mampu atas semua tangungjawab dan kerja. Tetapi di titik itulah, aku mula bertatih kembali mengemis-ngemis kekuatan dari Sang Pemilik Kekuatan.

Tuhan, jadikanlah sibuk ini sibuk yang benar-benar bermanfaat buat dunia dan akhiratku, juga sibuk yang buah manfaatnya kan sampai kepada ummah.

Dan atas setiap rasa berat, rasa gelisah, rasa tak larat ini, ampunkanlah Ya Allah. Alangkah kecilnya perjuanganku ini jika hendak dibandingkan dengan perjuangan Nabi dan para sahabat tika dulu.


Thabbit quluubana, ya rabb. T.T


No comments:

" Seseorang itu bukan diketahui HEBAT apabila orang lain bertanya;

SIAPA BAPAMU?? , tetapi apabila orang lain bertanya SIAPAKAH DIRIMU?? "

~Sultan Muhammad Al Fateh~