Sunday, October 25, 2015

Monolouque #1


dengan nama Tuhanku yang menciptakan,

(monolog yang ditulis khusus untuk hati sendiri)


Jangan pernah menyangka, segala pengorbanan yang kita lakukan di jalan juang ini,
Kan Allah sia-siakan untuk kita.

Allah menghitung. Hatta itu hanya pengorbanan perasaan dan jiwa.
Namun selagi itu kaulakukan untuk kepentingan agama yang dicinta, untuk menegakkan dan membangunkan kembali ummah yang alpa.
Maka berbahagialah wahai hati yang merindukan Tuhannya.

Allah tahu setiap apa yang kita lakukan, setiap titis air mata yang tumpah kerana beratnya ujian, setiap impian duniawi yang kita hancurkan satu persatu demi agama.

Allah tahu, dan Allah menilai.
Dan Allah jualah hakikatnya sebaik-baik pemberi balasan.

Di saat pertama kali hatimu teguh memilih untuk berada di jalan juang ini, maka percayalah, setiap kekecewaanmu untuk harapan kepada dunia,

Kan allah gantikan dengan yang jauh lebih baik dari segalanya.
Dan mungkin yang tak pernah pun engkau jangkakan sebelumnya.

Allah tahu bila masanya yang paling tepat, segalanya kan terbalas dengan hadiah terindah atas segala kesabaran di jalan juang.

Bersabarlah sayang, tiada kekecewaan atau penyesalan di dalam meletakkan harapan dan pergantungan kepada Tuhan.
Biar bertatih kita menapak. Biar sesak dada menghela nafas. Biar payah kita rasakan segalanya.
Kita perlu tetap bergerak, ummah sedang tenat tercungap nafas kelelahan.

Pada Allah jua kita rintihkan segenap kekuatan. 
T.T






Wednesday, October 21, 2015

Fastaqim.


dengan nama tuhanku yang menciptakan,


Sudah lama tidak menulis di mana-mana, hatta di facebook atau blog atau dalam buku catatan peribadiku sendiri bukanlah bermakna aku sudah jauh hati dari cinta kepada kata-kata.

Tetapi kerana kurangnya masa untuk aku duduk, mencari-cari ilham, menyusun atur aksara dan menaip bait-bait kata maka terjadilah semua idea dan buah fikiran tertahan di dalam kepala sahaja.
Pendek kata, bukan sudah tidak cinta, tetapi hanya kerana kekangan masa.

Dan kehidupan yang baru ini memaksa aku untuk memberikan sepenuh komitmen atas setiap tanggungjawab yg wujud. Oh ya, bukan secara terpaksa tetapi aku sendiri rela diriku ini disibukkan sebegini.

Bila dihitung-hitung sejak lahir, terlalu banyak komitmen yang mesti kita penuhi. Komitmen sebagai seorang Hamba Allah, umat Rasulullah, seorang anak kepada kedua ibu bapa, seorang pelajar, seorang kakak kepada adik, seorang cucu kepada nenek, seorang jiran kepada jirannya, seorang sahabat kepada sahabatnya. Dan sekarang ia malahan bertambah-tambah menjadi komitmen sebagai seorang roommate, sebagai seorang ahli kolej, ahli fakulti, ahli persatuan, ahli sekreteriat, ahli kumpulan perbincangan subjek dan senarai itu berterusan lagi tiada habisnya.

Dan aku malahan mencintai kesibukan dan hidupku yang sibuk. Ia terasa menghidupkan.
Kerana diam tidak bergerak itu pasti akan mudah mendekatkanku kepada perkara sia-sia. Perkara duniawi yang tiada ertinya. Dan yang lebih aku takuti dengan banyaknya masa lapang adalah, pabila aku begitu mudah mendekati kemaksiatan.

Maka syukur Ya Allah atas nikmat kesibukan ini. Darinya, aku perlu memaksa diriku menyusun atur jadual harianku dengan sebegitu teliti, belajar untuk bertenang atas semua masalah, memastikan semua temujanji ku dengan mana-mana individu dipenuhi dan perlu benar-benar memastikan aku memenuhi setiap komitmen yang bersusun di pundak ini.

Walau hakikatnya, ia mencambahkan tekanan, dan tak mampu untuk aku bohongi sedikit sebanyak ia disulami kekusutan. Namun dari segala tekanan ini menjadikan aku lebih mudah mengingat Tuhan.
Selalu merasa sangat lemah, rasa tak mampu atas semua tangungjawab dan kerja. Tetapi di titik itulah, aku mula bertatih kembali mengemis-ngemis kekuatan dari Sang Pemilik Kekuatan.

Tuhan, jadikanlah sibuk ini sibuk yang benar-benar bermanfaat buat dunia dan akhiratku, juga sibuk yang buah manfaatnya kan sampai kepada ummah.

Dan atas setiap rasa berat, rasa gelisah, rasa tak larat ini, ampunkanlah Ya Allah. Alangkah kecilnya perjuanganku ini jika hendak dibandingkan dengan perjuangan Nabi dan para sahabat tika dulu.


Thabbit quluubana, ya rabb. T.T


Wednesday, September 30, 2015

Untuk Para Perempuan Yang Dicinta

dengan nama Tuhanku yang Menciptakan,

Tidak pernah aku teringin untuk menulis tentangnya kerana aku asyik terfikir masih banyak isu dan hal lebih berat yang sepatutnya aku ulas. Namun, atas sebab menjawab soalan adik-adik dan sahabat-sahabat muslimat yang bertanyakan buah fikirku maka aku gagahkan jua menulis.

Pertama; kondisi kita adalah dalam lingkungan umur yang baru mula ranum. Baru selangkah kita keluar kealam sebenar, maka terlihatlah oleh kita ragam dan rencah dunia yang pelbagai warna.
Dan kita mula menyedari hakikatnya tak mudah untuk menjaga dan memelihara jiwa dan istiqamah. Ia manifestasi iman dan amal. Siapa yang kuat, maka berupayalah dia terus melangkah. Allahu.

Satu perkara mudah yang aku mahu simpulkan adalah, apa yang kita cari, maka itulah yang akan kita ketemukan. Situasi mudah. Individu A  buka fb, dan dia buka serta teliti satu persatu post-post tentang sahabat-sahabatnya yang baru sahaja berwalimah, dia lihat gambar-gambarnya, diperhati ucapan-ucapan orang untuknya, maka apa yang dia rasa sebenarnya. Jujurkan sajalah, tidak dapat tidak pasti terdetik di hatinya untuk merasai semua pengalaman seperti sahabatnya. Rasa keterujaan hadir melihatkan situasi sahabat yang berjaya menemukan jodohnya seawal usia.

Namun dari sudut yang lain, individu B pula buka fb, dan perhati status-status serta gambar-gambar sahabat-sahabat seusianya yang sibuk memperjuangkan isu ummah. Usia muda mereka penuhkan dengan berfikir, mencari ilmu dan turun ke masyarakat. Status-status tentang kahwin muda dan perkara-perkara cinta sangat susah untuk dijumpai di wall mereka. Walaupun, dia tahu usia mereka sebaya dan di tahap menuju dewasa.

Sangat ramai contoh ikon anak muda sebenarnya antaranya, ukht Farihah Zulkifli yang menjuarai hafazan peringkat antarabangsa. Ada juga akh Muhammad bin Zahid yang jika dulu kita sering mendengarkan laungan azannya di TV9. Dan ya, sekarang aktif bersama gerakan mahasiswa di Turki. Mereka ini wujud di FB. Dan rasa keterujaan individu B membara melihatkan ada sahabat seusianya yang sudah maju melangkah dalam menyumbang sesuatu kepada ummah.

Persoalannya mudah, keterujaan mana satukah yang kita pilih?

---


Ada yang bertanyakan pendapatku. Maka aku kira ia sebenarnya begini, perkahwinan dan baitul muslim bukanlah tentang siapa yang paling cepat. Tetapi ia adalah tentang orang yang tepat, pada waktu yang tepat dengan cara yang tepat.

Waktu yang tepat itu pastinya berbeza bagi setiap orang. Dan pastinya hanya Dia sahaja yang mengetahui untuk setiap insan itu, bilakah masanya yang paling tepat. Sesetengah orang menganggap selagi belum habis pengajian, maka belum cukup matang. Namun hakikatnya, ramai juga yang melewati usia pasca pengajian tetapi masih belum mencapai tahap kematangan.
Maka ianya mungkin berbeza mengikut individu.  

Teringat pesanan murabbiah satu masa dahulu tentang perkara ini:
“Tidak perlu berasa takut jika Allah adalah matlamat dan tujuan, tempat sandaran sepenuh pengharapan. Jaga penjuru dalam capaian kita, dan selebihnya serahkan pada Tuhan.”

Dan dalam sesi itu ada juga yang sempat bertanyakan, salahkah jika meletakkan sedikit pengharapan kepada manusia? Pantas murabbiah menjawab, “ kerana manusia ini sifatnya lemah, maka harapan-harapan kepada manusia juga lemah sifatnya. Maka tanpa ragu, gantungkan sepenuhnya pada Allah. Sepenuhnya di sini bermaksud total. Yakni, sepenuh yakin dengan Allah. Maka, kamu akan temukan tiada kekecewaan dan sebarang penyesalan di dalamnya. “

Ahh, terlalu manis dan indah rasanya saat murabbiah mengungkapkan.

--

Ketahuilah, post ini lebih terkhusus untuk sahabat-sahabat dan adik-adik muslimat yang sangat disayangi. Kerana kalianlah yang bakal menjadi ‘madrasatul uula’ dalam sebuah baitulmuslim, maka amat besarlah peranan kalian untuk memenuhi usia muda dengan memperdalam ilmu, bergaul dengan masyarakat dari pelbagai peringkat, dan mencari pengalaman. Seandainya saja kita tahu, bagaimana masa depan ummah ini mampu diubah dengan tangan-tangan kita, maka pasti tak sempat untuk kita berperasaan-perasaan semata-mata.

Maka, teruskan bersabar dengan sabar, usaha mujahadah *walaupun hakikatnya tersangat berat T.T dan terus memperbaiki diri dan jiwa.
Biar nanti anugerah itu menjadi terlalu indah kala kesabaran berbuah. :')


Akhirnya,
“Marriage is not about you and me. But it is about making ummah.”

Dan pastinya,
“A man with big dream needs a woman with vision.”

"Hakikat hamba sungguh lemah. Tiada waimma sehela nafas, bahkan daya dan upaya, melainkan dengan kekuatan dari Allah. 

Sedang nafas saja pun perlu bergantung pada Nya, inikan pula soal sesuatu yang bakal kita pilih, untuk kebaikan dunia dan agama.

kan?"


Senyum redup.
Khalas.

--

Sunday, August 16, 2015

tanpa tajuk.

dengan nama Tuhanku yang menciptakan,




Kerana kini, bukan lagi saatnya--
ketenangan hati dan kemanisannya memeluk iman itu sesuatu yang subur tertanam.

Dulu dengan mudah aku bisa meneguk nikmatnya--
kerana acuan biah yang mensyurgakan jiwa.

Tetapi ia,
mulai saat ini--
adalah sesuatu yang harus aku perjuangkan.
Perjuangkan dalam dalam.

.
.
.

Setiap hari.

--

Dulu di bumi waqafan, pernah ada orang bertanyakan. Apa yang ingin sekali aku mahukan, sebelum keluar dari sini?

Aku beritahu, ada tiga perkara.

1. Murabbi.
2. Murabbi.
3. Lihat no. 1 dan 2.



Maaf sahabat, aku memang tiada jawapan lain untuk soalan itu.

Sedang tegaknya batang pokok, pasti kerana kukuh akarnya.
inikan lagi manusia. kan?

Masa mengubah nilai tarbiyah. Makin jauh, semoga semakin berharga.
Istiqamahkan kami, ya Rabb. T.T

--

"Ramai sangkakan berani itu bererti tiada ketakutan. Tetapi berani itu ialah kemampuan bergerak dengan keyakinan kepada Nya walaupun perlu berdepan ketakutan."

Infiru khifaafan wa thiqaalan.

" Seseorang itu bukan diketahui HEBAT apabila orang lain bertanya;

SIAPA BAPAMU?? , tetapi apabila orang lain bertanya SIAPAKAH DIRIMU?? "

~Sultan Muhammad Al Fateh~